Thursday, October 22, 2015

EXHIBITION OF PHOTOGRAPH OF ISLAMIC CALLIGRAPHY, 12 APRIL - 26 April 2015 @ MUZIUM SENI ASIA

Collaboration with Raza Ramphur Library, India.

Berikut komen pelajar kami:

Catatan 1:

Berdasarkan lawatan atau kunjungan yang saya lakukan, pameran islamic kaligrafi ini sememangnya satu pameran kaligrafi yang lain daripada apa yang pernah saya lihat sebelum ini. Maksudnya, pameran ini membawa seni kaligrafi dari negara india yang pada saya amat menarik sekali dan ianya berbeza dari kaligrafi Malaysia. Pameran ini juga turut membawa nama-nama besar calligrapher seperti Gulam Rasool, Syed Abdul Abbas Naqvi Al Bukhari, Mirza Ghulam Khan, dan ramai lagi. Kebanyakan pameran kaligrafi yang ditonjolkan bermotifkan ayat-ayat al-quran dan hadis. Selain itu, gaya kaligrafi dalam pameran ini turut bermotifkan haiwan seperti singa, burung nuri, burung merpati, dan juga angsa. Pameran ini juga serba sedikit telah membuka minda saya berkenaan seni kaligrafi ini. Bidang seni kaligrafi ini sebenarnya memerlukan ketelitian dan juga kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan satu kaligrafi yang berkualiti. 

Catatan ke-2:
Kerajaan India dan Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia dalam kerjasama dengan perpustakaan Rambur Raza telah membawa sebanyak empat puluh gambar Kaligrafi Islam untuk pertama kalinya ke Malaysia, sebahagian daripada Festival India di Malaysia tahun 2015.  Pameran ini diadakan di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya selama 15 hari iaitu bermula pada 12 April hingga 26 April 2015. Pameran ini menjadi pelengkap kepada sambutan Tahun Festival Malaysia 2015 Dianjurkan Suruhanjaya Tinggi India di sini, festival yang julung kali diadakan itu, akan menampilkan kekayaan budaya India melalui pelbagai acara yangdiadakan di beberapa bandar seperti Ipoh, George Town, Sungai Petani, Seremban,Melaka, Johor Baharu, Kota Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu, selain KualaLumpur.
Pameran ini dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kerajaan India Melalui Pusat Kebudayaan India, Kuala Lumpur ini telah mendapat sokongan penuh oleh kementerian perlancongan dan kebudayaan Malaysia.  Festival India di Malaysia tahun 2015 yang berlangsung merupakan salah satu aktiviti tahun melawat Malaysia 2015.
Sepanjang pameran itu berlangsung, tayangan video tentang keunikan aktiviti festival India di Malaysia tahun 2015 yang berlangsung di Universiti Malaya turut di tayangkan untuk menarik minat pengunjung. Tayangan video ini juga sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan dan keunikan kepada pengunjung tentang kebudayaan yang wujud di India. Pameran ini sebenarnya melibatkan rakaman fotografi secara digital terhadap bahan-bahan koleksi khat dari perpustakaan tersebut. Tidak mungkin kita dapat membawa masuk artifak seni asal yang telah berusia beribu-ribu tahun. Bahan-bahan itu tidak boleh diusik demi memelihara dan mengekalkan sifatnya. Justeru, kita berjaya menyalin semula secara digital untuk tatapan pengunjung. Bagi pencinta seni khususnya tulisan khat, pameran yang julung-julung kali diadakan ini sememangnya istimewa berbanding­ pameran khat biasa.
Pameran ini juga merupakan pengiktirafan kepada khat sebagai satu cabang seni yang bukan sahaja bersifat abstrak namun turut memiliki keunikan luar biasa. Antara contoh seni khat yang di pamerkan ialah khat Diwani, Kufi, Tuluth, Nasakh dan Diwani Jal mempunyai keunikan bentuk, warna, kreativiti dan keistimewaan tersendiri. Karya tersebut merupakan sebahagian daripada 300 tulisan khat bersejarah yang ditempatkan di perpustakaan berusia 241 tahun itu. Menurut ketua Muzium Seni Asia UM, Abdul Aziz Abdul Rashid, orang ramai diminta tidak melepaskan peluang menyaksikan keunikan dan kehalusan seni khat yang dibawa khas dari India. Sambutan yang diberikan oleh para pelajar terhadap pameran ini amat menggalakkan. Walaupun pameran ini diadakan pada waktu kuliah pelajar, tetapi kehadiran pelajar amat menggalakakkan. Perkara ini menunjukkan bahawa kesenian khat mendapat tempat dalam kalangan pelajar Universiti Malaya walaupun dalam pelbagai jurusan matapelajaran. Sedikit sebanyak dapat membuka kesedaran untuk mengekalkan kesenian khat islam yang agak semakin dilupakan.
Ringkasnya pameran selama 15 ini telah mencapai matlamatnya dan disifatkan amat berjaya jika dinilai dari segi sambutannya. Diharapkan pada masa depan pameran seumpama ini akan dapat diadakan lagi demi mengekalkan kesenian yang ada dalam ketamadunan islam.

Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment