1st Update: 29.10.2015
CINDAI
APABILA kita mendengar
nyanyian tentang cindai di radio, kita masih mencari-cari erti cindai dalam
kamus masyarakat Malaysia ketika ini. Ia
seolah-olah perkataan baru, akronim atau nama sesuatu yang tidak dapat kita
pastikan kerana lagu berkenaan tidak membayangkan maksud sebenar erti cindai
melainkan ia mengungkapkan sesuatu keindahan.
Sesungguhnya, cindai merupakan hasil karya tekstil yang halus dan indah,
diperbuat daripada bahan sutera dan berasal dari India, khususnya dari daerah
Gujerat. Ia dihasilkan dengan teknik tenun ikat ganda (double ikat), iaitu motif dan corak terserlah akibat
daripada gabungan atau pertindihan yang tepat di antara benang loseng (benang
yang menunggu) dan benang pakan (benang yang mendatang). Sehubungan itu, ragam hias yang dihasil bukan
daripada cetakan seperti teknik batik, tetapi hasil daripada warna benang yang
diikat dan ditenun.
Cindai ialah nama yang diberikan oleh masyarakat Nusantara, manakala nama
yang dikenali di negara asalnya dan dunia pertekstilan Barat sebagai patola.
Walaupun ia bukan hasil karya tulen masyarakat Nusantara, kain ini
terkenal kerana kecantikannya dan kepercayaan terhadap kesaktian yang
dimilikinya. Namun yang lebih utama ialah teknologi penghasilannya. Masyarakat Melayu juga menghasilkan jenis
cindai atau kain ikat tenun ini dengan nama kain limar.
Kain ini sangat popular di kalangan pembesar atau keluarga diraja silam dan
ada dicatatkan dalam Hikayat Hang Tuah:
“Maka Laksamana
pun memakai berseluar kuning berkain kesumba merup diantelas, bertepi bersirat,
berikat pinggang cindai natar kuning, berbaju hijau digangsa, berdestar warna
pelangi…”
Selain Hikayat
Hang Tuah, Hikayat Awang Sulung Merah Muda banyak menyebut tentang
cindai. Salah sebuah pantun
Melayu lama ada berbunyi:
Anak cindai anak serasah
Ketiga anak rakam keling
Kalau diampai
bertambah basah
Kalau direndam bertambah kering
Patola telah mula
dikenali di Gujerat sejak abad ke-10/11 M berdasarkan sajak atau syair Ranak
Devi, isteri Rakhengar dari Junagadh. Ranak Devi telah mengkafankan suaminya
dengan kain patola dalam peristiwa perbalahannya dengan Siddharaja Jaysingh.
Namun demikian,
Ibn Batuta mencatatkan, perdagangan tchinde (cindai) ke Nusantara adalah
sejak abad ke-14M. Semenanjung Melayu
mula mengimport cindai dari Gujerat antara 1612-1614 M. Antara warna kegemaran ialah hijau, cerah,
merah dan kuning.
Cindai di kalangan
masyarakat Nusantara silam dikaitkan dengan kesaktian kain tersebut. Ia dikatakan boleh menyelamatkan pemakai
daripada bahaya serangan musuh. Selain
itu, mereka mengkagumi kain cindai sehingga lahir ungkapan “mati berkapan
cindai” yang bermaksud mati sebagai pahlawan atau dalam keadaan gemilang.
Koleksi cindai
Muzium Seni Asia dan muzium-muzium lain di negara ini biasanya berbentuk
selendang yang panjang (seperti kain sari).
Ada yang berukuran 5.5 meter panjang, berambu di hujung, warna merah tua
dengan corak dan motif bunga atau bunga paisley yang diulang-ulang.
Corak di kepala
(bahagian hujung atau punca kain) dan badan kain (bahagian tengah kain)
berbeza. Bahan badan kain akan dihias
dengan corak tumbuhan atau binatang (gajah atau harimau) yang diulang-ulang
atau tanpa apa-apa corak tertentu – berwarna kuning atau merah polos.
Terdapat sepuluh
corak dasar yang sering digunakan terutama tumbuh-tumbuhan, zoomorfik dan motif
geometri. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, antara cindai yang amat sukar
dijumpai di negara ini ialah cindai berwarna biru dan cindai yang mempunyai
motif gajah berjuang.
Kain-kain cindai
banyak dieksport ke Indonesia khasnya kerana para pembesar kerajaan silam
menggunakan cindai sebagai bahan membuat pakaian kebesaran berbanding di negara
ini hanya menggunakannya sebagai bengkung atau ikat pinggang. Manakala bahan
pakaian raja-raja Melayu silam menggunakan kain songket tenun yang
gemilang.
Sumber kerajaan
Ming menyebut bahawa pembesar Majapahit memakai sarung dari kain cindai, begitu
pembesar-pembesar di Yogyakarta dan di Surakarta. Selain itu, cindai juga dipakai oleh penari-penari istana
kedua-dua kerajaan berkenaan.
Sehingga kini, warisan kain cindai yang ada menunjukkan cindai yang
telahpun mulai usang, tetapi warna-warnanya masih terang tidak pudar. Ia juga mulai menunjukkan
tenunan yang semakin longgar (loose woven) kerana faktor usia. Muzium Seni Asia hanya mempunyai dua helai
cindai yang masih dalam keadaan baik, iaitu kain cindai dari abad ke-18. Kedua-dua berwarna hitam yang terdiri daripada corak
tumbuh-tumbuhan.
Di India, kain cindai atau patola ini digunakan terutama sebagai sari dan
hanya dipakai pada masa upacara suci atau masa-masa tertentu sahaja. Selain itu, kain patola ini haya dipakai oleh
pengantin dari keluarga kaya berketurunan Bhatia dan Brahmin di Gujerat dan ibu
yang sedang mengandung tujuh bulan.
Keluarga-keluarga yang tidak mampu akan menyimpan sisa-sisa kain ini
sebagai milik yang suci. Pada masa
sekarang, kain jenis ini hanya dihasilkan oleh dua keluarga Salvi dari daerah
Patan di Gujerat.
UM. Kain cindai
UM. Kian cindai
No comments:
Post a Comment